Page Tab Header

Thursday, May 12, 2011

Ujian Antibodi HIV

Ujian Antibodi HIV


Ujian Antibodi HIV ialah ujian darah bagi mengesan kehadiran antibodi HIV dalam tubuh. Antibodi ialah sejenis protin yang dihasilkan oleh tubuh badan bagi melawan anasir-anasir asing seperti kuman dan virus yang menyerang sistem badan. Terdapatnya antibodi HIV dalam darah menunjukkan jangkitan HIV telah berlaku. Bagaimanapun bagi jangkitan HIV, antibodi HIV yang dihasilkan ini hanya mampu melawan virus HIV ini di peringkat awal jangkitan. Bila virus HIV ini membiak dan menjadi semakin banyak, antibodi HIV ini menjadi semakin lemah dan tidak berupaya melawannya.

Mengikut cadangan doktor, Ujian HIV ini perlu dijalankan setelah 3 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan walaupun bagi sebahagian orang kewujudan antibodi HIV dalam darah dapat dikesan seawal 2 minggu atau secara puratanya 25 hari selepas jangkitan. Bagi sebahagian orang pula antibodi HIV hanya dapat dikesan dalam darah setelah 3 bulan. Jika keputusan ujian setelah 3 bulan itu adalah negatif maka anda perlu membuat satu ujian HIV lagi setelah 6 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan. Ini kerana tubuh mungkin mengambil masa selama enam bulan untuk mengeluarkan antibodi HIV secukupnya. Jadi 2 ujian setelah 3 bulan dan setelah 6 bulan mampu memberikan keputusan yang lebih meyakinkan.

Ujian pertama yang menunjukkan keputusan negatif iaitu setelah 3 bulan bermakna antibodi HIV tidak dikesan di dalam contoh darah yang diuji. Namun ini belum mengesahkan bahawa orang berkenaan bebas daripada HIV. Ini adalah kerana terdapat satu tempoh (yang dipanggil “window period”) dimana antibodi HIV tidak dapat dikesan didalam darah kerana badan belum menghasilkannya walaupun telah terdapat virus HIV yang banyak dalam darah atau air mani. Waktu antara jangkitan dengan penghasilan antibodi HIV dipanggil “Window Period”. Jadi sepatutnya mereka yang dikesan negatif dalam ujian pertama, perlu menjalani ujian darah sekali lagi setelah 3 bulan lagi (iaitu setelah 6 bulan daripada tarikh kemungkinan terkena jangkitan) supaya status anda dapat ditentukan dengan lebih yakin.

Perlu diingatkan bahawa dalam jangkamasa enam bulan elakkan aktiviti-aktiviti berisiko tinggi agar ujian-ujian anda tidak sia-sia.

Keputusan yang positif bermaksud antibodi HIV telah dikesan dalam darah. Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna orang itu akan jatuh sakit dalam masa yang singkat. Seseorang yang positif HIV perlu mendapatkan kaunseling dan rawatan yang sempurna untuk mengekalkan kesihatan dan memanjangkan hayatnya.

Mengapa perlu melakukan ujian HIV awal ?
Pengesanan jangkitan HIV yang awal boleh menyebabkan anda mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melambatkan penyebaran virus HIV dalam badan dan boleh melangsungkan hidup lebih lama. Malah anda boleh mengelak daripada memindahkan virus HIV kepada pasangan kesayangan anda dan orang lain.

Satu lagi sebab yang sangat penting ialah anda boleh menentukan sama ada selamat atau tidak untuk hamil.


 
Menangguhkan menjalani Ujian Antibodi HIV
Jika negatif:
• Tekanan perasaan yang merugikan

Jika positif:
• Kemungkinan menjangkiti orang lain
• Lambat menjalani rawatan
• Boleh merancang kehamilan anda


Kelebihan menjalani Ujian Antibodi HIV
Jika negatif:
• Kelegaan
• Kekalkan hidup sihat

Jika positif:
• Rawatan segera
• Amalkan hidup sihat
• Fikir dengan positif

Pilihan untuk menjalani Ujian Antibodi HIV terletak di tangan anda sendiri. Yang pasti, mengetahui keputusan ujian tak kiralah positif atau negatif akan lebih mententeramkan jiwa anda daripada terus gelisah tanpa mengetahui situasi yang sebenar.